………………………………………………….::: soul . heart . mind .

Kemerdekaan Hakiki

Berikut ini adalah sebuah tulisan yang saya rasa baik bagi kita untuk memikirkan kembali gagasan tentang kemerdekaan yang sesungguhnya.

29/08/2006

Demi menyahut seruan kerajaan supaya rakyat membesarkan hari-hari kemerdekaan, inilah sumbangan kecil dari kami, guna mengisi perayaan demi perayaan yang dibuat di seluruh dunia di mana saja rakyat Malaysia berada.

Setelah 49 tahun kita dimerdekakan dan dibebaskan satu post-mortem perlu dilakukan terhadap bangsa dan negara ini. Supaya kita benar-benar menuju kepada satu negara yang kuat dan bangsa yang kuat. Negara yang aman makmur dan bangsa yang kuat dan mendapat keampunan Allah. Negara maju disudut duniawi dan ukhrawi.Negara yang disegani oleh kawan dan lawan.Bangsa yang layak menaungi bangsa lain.Tapak bagi empayar Islam yang berwibawa, yang layak bersaing dengan empayar barat yang kian runtuh.

A. KEMERDEKAAN POLITIK

Negara-negara umat Islam di dunia seperti Mesir, Syria, Iraq, Pakistan, Indonesia, Brunei, Malaysia dan sebagainya sudah ada yang 100 tahun merdeka, 80 tahun, 70 tahun, 50 tahun dan paling dekat 30 tahun.Tapi belum ada satu pun yang dapat dibangunkan menjadi negara Islam yang kuat dan menjadi contoh seperti yang Rasulullah SAW lakukan. Baginda mengambil masa cuma 23 tahun untuk menjadikan negara dan bangsa Arab empayar Islam menggantikan Rom dan Farsi waktu itu. Kaedah yang dipilih untuk membangunkan negara-negara merdeka oleh penguasa-penguasa umat Islam ialah ideologi ciptaan barat. Tak ada satu pun yang merujuk kepada kaedah Rasulullah. Al hasil, hari ini kita masih bertuankan penjajah.Belum mampu kita menjajah mereka para penjajah.

Sudah sepatutnyalah negara-negara orang Islam ini berfikir semula tentang langkah-langkah yang patut dilaksanakan bagi mengisi kemerdekaan. Kaedah lama nyata belum memberikan hasil yang padan dengan umur kemerdekaan. Bahkan di banyak negara kaedah yang dipakai bukan membawa tuah, tapi membawa padah kehinaan dan kelemahan. Ideologi barat yang dipraktikkan di negara-negara orang Islam ternyata gagal menjadikan kita bangsa yang kuat. Di Malaysia sendiri setelah 45 tahun merdeka, bangsa ini kelihatan seperti kehilangan arah. Kemajuan material semata-mata kelihatan telah membuat satu penutup yang mengecewakan!

Tapi kita belum pun terlambat. Bahkan ini waktu terbaik untuk kita memulakannya. Yakni, mengambil Tuhan, Allah SWT sebagai tempat rujuk. Bertanya kepada Mahaguru yang Maha Agung tentang bagaimana membangunkan satu bangsa untuk jadi empayar. Memohon Dia bekalkan apa juga jenis keperluan yang diperlukan untuk projek besar ini. Bekalan-bekalan yang berunsur rohaniah dan maddiah. Seperti tenaga manusia yang benar-benar layak, perpaduan, strategi-strategi perjuangan dari masa ke masa, wang yang cukup, kaedah menangkis musuh, rahsia menyelesaikan masalah, kunci kemenangan demi kemenangan dan panduan-panduan agar tidak tergelincir dari jalan yang benar.

Tanpa mengambil Tuhan sebagai tempat rujuk perjalanan seseorang paling bijak di duniapun berakhir dengan kegagalan. Memutuskan diri dengan Tuhan sama seperti layang-layang putus talinya. Tuhan bukan untuk dibuat patung. Tuhan ialah Maha Pencipta yang boleh diajak bercakap, bertanya, berjumpa rasmi 5 kali sehari. Allah SWT ialah Zat yang wajib dicintai sesungguh hati, lebih dari segala-galanya. Allah SWT juga wajib ditakuti lebih dari segala-galanya. Allah SWT sebenarnya untuk dijadikan matlamat hidup mati kita.

Setiap saat kita memerlukan Tuhan. Tanpa pimpinan dan pertolonganNya, setiap saat kita buat kesilapan. Bangsa yang tidak sembahyang, pasti tergelincir dihujungnya. Sebab sembahyang sebenarnya ialah modal utama untuk menjadi bangsa yang agung. Macam kereta yang berjalan jauh kena berhenti di stesen-stesen minyak untuk mengambil bekalan minyak untuk perjalanan selanjutnya. Maka manusia yang tidak berhenti 5 kali sehari semalam di stesen Tuhan untuk ambil keperluan kehidupan dan perjuangan nescaya akan jem dan gagal! Anda carilah teks kuliah Sembahyang Membina Peribadi Agung untuk tujuan memahami apa yang kami maksudkan. Juga untuk menjadikan kemerdekaan ini ialah kebahagiaan dan kemenangan. Allah SWT sendiri yang menjamin bahawa:-

Sembahyang itu kemenangan
Sembahyang itu kemenangan

Tersilaplah suatu kaum yang mencari kebahagiaan dengan meninggalkan Tuhan dan sembahyang. Sedangkan kemerdekaan ini dari Dia dan kembali padaNya.
Allah berfirman dalam Surah Al Imran : 26

Ertinya:” Katakanlah, Ya Allah, Yang memiliki kerajaan, Engkau memberi kerajaan kepada siapa yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan daripada siapa yang Engkau kehendaki dan Engkau muliakan siapa yang Engkau kehendaki dan Engkau menghina siapa yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha berkuasa atas segala-galanya.”
B. KEMERDEKAAN EKONOMI

Kita mesti tahu rahsia besar yang Allah SWT bukakan untuk orang Islam, agar jangan kita tertipu kerana kejahilan. Sedangkan Allah SWT sudahpun mengingatkannya. Bahawa dunia ini adalah tipu daya. Allah SWT mengulangi di ayat yang lain bahawa tidaklah kehidupan dunia ini melainkan tipu daya.

Pengalaman hidup kita sendiri dan orang lain juga banyak membuktikan bahawa kecintaan pada dunia ini hanyalah tipu daya. Wang dan kekayaan menjanjikan kebahagiaan yang tiada!

Inilah pandangan Islam dalam ekonomi. Siapa juga yang mahu berurusan dengan khazanah kekayaan Allah SWT di bumi, mestilah pandai mengelak dari tipuan. Seorang yang perasaan cintakan Allah SWT kuat mencengkam di jiwa, hinggakan cinta dunia dapat ditangkis. Itulah orang yang dunia tidak dapat memperbodohkannya. Selain mereka, kepandaian akademik dan diniah saja pasti tak selamat dari godaan dan bujukan harta.

Adapun kemerdekaan dalam konteks ekonomi ialah bebas dari penyakit tamak haloba oleh sikaya atau penguasa. Allah SWT melonggokkan kekayaan pada mereka supaya ada sebab untuk bersatunya mereka dengan golongan tidak berada dan miskin. Orang miskin kaya tenaga dan kebolehan bekerja yang semuanya amat diperlukan oleh golongan kaya. Masyarakat akan stabil bilamana kekayaan masing-masing dikongsi dan tidak bermaksud untuk tindas menindas.

Tapi malang bagi dunia moden ini, manusia-manusia tidak lagi mengikut disiplin Tuhan. Mereka berperang sesamanya, sekalipun dalam rumah tangga. Maka datanglah hukuman Tuhan, yakni ekonomi jatuh.Seluruh dunia dilanda kejatuhan ekonomi. Ambil perhatianlah dengan bencana besar ini. Tuhan tidak lakukan dengan sia-sia. Sejarah menceritakan bahawa bilamana Allah murka dengan satu kaum, maka Allah SWT tarik kekayaan mereka. Maka jatuhlah kuasa politik dan hancurlah kaum tersebut.

Sempena kemerdekaan marilah kita memohon kepada Allah supaya dimerdekakan negara dari segala cengkaman penjajahan masaalah. Allah SWT adalah sumber kekayaan dan kekuasaan. Untuk dapatkan itu semua, orang Islam tak boleh menempuh cara orang bukan Islam. Allah SWT menolong orang bukan Islam dan golongan anti Islam kerana faktor usaha ikhtiar dan kekuatan. Tapi orang Islam ditolong kerana faktor taqwa. Orang bertaqwa yang berusaha Allah SWT berjanji membalasi dengan 90%. Sedangkan usaha ikhtiar oleh orang-orang yang tidak takut dengan Allah SWT, mereka hanya akan diberi sekadar 10%. Itu pun hanya atas dasar istidraj. Untuk 10% itulah golongan ini menghabiskan umur. Dunia telah menipu mereka.

Cara dapatkan 90% kekuatan, ialah usahakan taqwa. Yakni, bersedekah, bermaaf-maafan, sembahyang malam (tahajud), sembahyang hajat, berkasih sayang dan bertaubat banyak pada Allah SWT. Yakni membaiki diri. Bersatu padu, ikhlas, merendah diri dan kerjasama. Sejarah memaparkan bahawa dengan mempraktikkan ekonomi Islam itu, perniagaan Rasulullah SAW di Suqur Ansar oleh Sayidina Abd Rahman bin Auf, dalam masa yang begitu cepat, Islam menguasai ekonomi Madinah dari tangan kapitalis yahudi.

Mengapa tidak kita belajar dari sejarah ini demi memerdekakan bangsa dari masaalah ekonomi yang sedang melanda?

C. KEMERDEKAAN FIKIRAN

Akal fikiran yang ada pada manusia sungguh menakjubkan. Merupakan ciptaan Allah SWT yang Maha ajaib. Bangsa yang dapat memanfaatkan akal fikiran sepenuhnya ternyata mampu menguasai langit dan bumi, menjadi tuan kepada dunia. Tapi menurut Islam, akal tidak boleh dibiarkan berfikir tanpa disiplin. Sebab akal yang tidak terpimpin cenderung untuk kufur kepada Tuhan. Berapa ramai ahli falsafah telah mengambil kesimpulan untuk menolak agama dan memilih untuk bunuh diri sebagai penutup hidupnya. Fikiran yang terlalu bebas rupanya tersesat begitu sekali.

Quran mengajarkan orang Islam bahawa fikiran mesti bertunjangnya roh tauhid. Itulah kemerdekaan yang berdisiplin namanya. Akal akan selamat bilamana berjalan bersama hati yang berzikir pada Allah SWT. FirmanNya bermaksud:-

Mereka yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk dan berbaring seraya mereka berfikir akan ciptaan-ciptaan langit dan bumi.

Maknanya orang yang baik ialah mereka yang berfikir dalam keadaan hati berzikir. Sambil berfikir sambil membesarkan Tuhan. Berfikir sambil menyedari penentuan dari Allah SWT. Berfikir sambil merasa kekuatan Allah SWT. Ertinya fikiran kalau nak dibiar berjalan mesti diikat pada hati. Tanpa ikatan hati yang terang dengan zikir, akal berjalan dalam gelap dan akan terjadilah 1001 macam kesalahan.

Jadi umat Islam mesti dilatih untuk mendisiplinkan fikiran dengan cara ini. Barulah kita akan dapat merdekakan fikiran dari belenggu jahiliyah yang telah membinasakan kemanusiaan manusia kini.

D. KEMERDEKAAN KEBUDAYAAN

Bidang ini adalah bidang hidup yang penting yang ikut jadi penentu kepada watak sesuatu bangsa. Baik sistem budayanya baiklah bangsa. Tapi bila buruk kebudayaan yang mereka perjuangkan, buruk pulalah watak bangsa tersebut.

Dalam Islam, sebenarnya sistem kebudayaan cukup selamat dan menyelamatkan, sebab apa juga aktiviti budayanya, yang sangat menarik dan menghiburkan itu tidak terpisah dari Allah SWT. Sambil berhibur, kita masih dapat mengingati Allah SWT sambil berhibur tak lari dari disiplin, kami mencadangkan sistem ini dijadikan alternatif kepada budaya kuning yang telah meruntuhkan moral remaja kita seruntuh-runtuhnya.

Orang melayu khususnya hari ini macam mana mahu jadi bangsa besar, sedangkan kebudayaan yang dihidangkan pada mereka melalui pentas-pentas budaya, muzik, teater, drama, filem dan lain-lain lebih banyak mengajak bercinta-cinta dan kecewa daripada mengajak kepada perjuangan bangsa dan agama. Kelihatan pejuang-pejuang budaya tidak ketemu isu lain dalam perjuangan selain isu jatuh cinta akhirnya kecewa. Jutaan rakyat yang melihat, pulang membawa hati yang lembab, yang pupus dari semangat memperjuangkan empayar untuk bangsa dan agamanya. Mengapa tidak kita perjuangkan kebudayaan Islam yang terasnya ialah menjadikan manusia itu hamba Tuhan dan khalifahNya. Bukannya hamba teruna dara yang akhirnya merana. Kebudayaan yang memuja nafsu dan syaitan hendaklah ditukar kepada kebudayaan yang memuja Allah dan Rasul. Satu kebudayaan yang nilainya mampu memartabatkan orang Islam, menjadi pemegang-pemegang tampok ekonomi, politik, pendidikan, kesihatan dan lain-lain di muka bumi Tuhan ini. Selagi kebudayaan bangsa tidak dimerdekakan dari unsur-unsur cinta dan seks ini, kita sebenarnya belum merdeka.

E. KEMERDEKAAN PENDIDIKAN

Pendidikan adalah roh, nadi umat. Apa erti bangsa kita mencapai kelulusan tinggi-tinggi tapi mereka hanya mementingkan diri, tidak untuk bangsa dan masyarakatnya. Mengapa kita tidak didik lulusan-lulusan ini membuang sifat negatif dalam diri supaya mereka menjadi insan-insan yang boleh jadi abid di malam hari dan menjadi singa disiangnya. Kriteria ini yang Rasulullah katakan mesti ada pada kaum yang mahu menjadi bangsa yang maju.

Kerajaan Othmaniah dapat menguasai 29 negara-negara adalah setelah orang Turki dididik menjadi hamba yang memuja Tuhan di malam hari dan berjuang bagai singa di siangnya. Demikian Salehudin Al Ayubi, memenangi Palestin setelah orang-orangnya mampu sembahyang di malam hari.Sayidina Umar Al Khattab tidak benarkan orang-orangnya keluar berjuang kalau mereka tidak bangun malam untuk Tuhan.Orang melayu kalau dididik menurut acuan ini, tiada sebab mengapa kita tidak boleh jadi empayar di timur atas nama Allah dan Rasul. Sementelahan pula empayar barat sedang tercabut taringnya. Mengapa peluang ini tidak kita cuba merebutnya.

F. KEMERDEKAAN AGAMA

Agama adalah keperluan rohaniah manusia yang tidak boleh tidak. Roh tak dapat dipisahkan dari Tuhan sama seperti tak boleh dipisahkan gula dengan manisnya. Roh tanpa Tuhan akan bergoncang sampai manusia tak sanggup hidup lalu membunuh diri. Roh yang kuat bertuhan, mampu tahan menghadapi ujian bahkan bahagia di atas ujian. Memang bangsa yang kuat seperti Israel adalah penganut kuat agamanya iaitu yahudi.Namun tidaklah sekuat para sahabat Rasulullah yang memperjuangkan Allah melalui agamaNya Islam. Mereka itu kerana kuat rohnya dengan Tuhan, sanggup berbuat baik kepada orang yang buat jahat pada mereka. Sedangkan Israel mengganas di mana-mana.

Maka dalam negara merdeka, setiap rakyat hendaklah dibenarkan menganut dan praktiskan agama masing-masing. Bahkan demi kemerdekaan, izinkan mereka memperjuangkan keyakinan mereka. Dengan syarat jangan jadi macam orang politik, saling berhentakan. Bilamana setiap orang boleh mengembangkan agamanya, apa yang diharapkan, ialah setiap orang akan berpeluang mendengar tentang semua agama. Ilmu perbandingan agama harus dibenarkan. Supaya manusia dapat memilih agama yang benar, jelas dan terang. Sebab agama Tuhan itu cuma satu. Setiap orang wajib memilih agama yang paling benar! Islam baka sebenarnya tak ada nilai.Agama ialah keyakinan bukan tiru-tiru.Pilihan agama dibuat atas dasar ilmu dan kebenaran bukan keturunan dan emosional.Agama bukan harta pusaka tapi ialah sebuah kecintaan yang diperjuangkan. Merdekakanlah manusia dalam beragama. Jangan paksa orang meniru keyakinan kita.Apa nak ditakut kalau kita benar, kebenaran pasti menang, kebatilan pasti pergi tanpa di halau.Kalau benar mahukan bangsa ini jadi bangsa yang kuat, aman dan makmur, amalan kemerdekaan dalam agama adalah tidak boleh tidak.

G. KEMERDEKAAN JIWA

Sesungguhnya inilah dia keperluan paling asasi. Merdeka disudut lain-lain tak bermakna apa-apa bagi individu yang dibelenggu jiwanya oleh nafsu dan syaitan. Sebab manusia yang bertuhankan nafsu semata-mata tak mungkin boleh diharapkan berkongsi kekuatan dan kemakmuran dengan orang lain sekalipun keluarga apalagi jiran tetangga dan masyarakat.

Oleh itu bebaskan manusia dari nafsu dan syaitan. Halau musuh batin itu nyah dari ruang jiwanya. Allah SWT telah memberi petunjuk yang terperinci bagaimana manusia berperang melawan nafsunya. Kami cadangkan sistem pendidikan memasukkan bidang ini dalam syllabus bermula dari Tadika lagi hingga ke Universiti.

Watak bangsa yang mesti disiapkan untuk tujuan mencapai negara maju ialah: kasih sayang, merendah diri, berlemah lembut, pemurah, rajin, berani, bekerjasama, maaf-bermaafan, ikhlas, lapang dada, bertolak ansur, cintakan Tuhan, takutkan Tuhan dan sering dekatkan diri kepadaNya. Dengan watak-watak ini barulah seorang saintis, doktor, lawyer, orang politik, korporat, pegawai tadbir dan lain-lain benar-benar menyumbang pada negara. Sebaliknya seorang guru yang kuat hasad dengki pasti tak boleh lahirkan murid yang baik. Korporat yang tamak, mana boleh kongsi kekayaannya dengan masyarakat. Politikus yang gila kuasa, tak mampu untuk berlaku jujur kepada bangsanya. Demikian seterusnya.

Kalau begitu, kita belum puas hati dengan merdeka dari penjajah. Itu kecil. Yang besar, musuh yang kita kena perangi betul-betul ialah sifat-sifat mazmumah yakni nafsu kita yang menjadi musuh dalam diri kita.Kalau kita gagal terhadapnya dia akan merosakkan kita, juga merosakkan orang lain serta harta benda.

Umat Islam kalau mahu jadi umat yang kuat, boleh menandingi umat lain, rahsia ini mesti dipelajari dan diperjuangkan sungguh-sungguh.Yakni mengenal pasti mazmumah, iaitu sejahat-jahat musuh kita yang sangat mahu merosakkan kita. Dia bertindak 24 jam dengan kerjasama syaitan untuk pastikan cita-citanya tercapai.

Ketahuilah, jangan tak tahu, bisikannyalah yang merosakkan kita, bilamana kita memperturutkannya. Tanpa sedar umat Islam hari ini beramai-ramai telah diperkudakan oleh dirinya.Konon, mereka mahu bebas, tak mahu diikat oleh disiplin Tuhan, walhal dengan menolak Tuhan mereka sebenarnya dibelenggu oleh nasfu dan syaitan. Buktinya masyarakat kita sekarang suka bercinta-cinta dulu baru kahwin.Itu falsafah nafsu dan syaitan.Lepas setahun dua, dapat anak satu sudah bergaduh dan bercerai berai.Konon lagi, nak berjaya tak perlu sembahyang, akhirnya bila berjaya bergaduh dan berperangan. Itulah tipuan dari bisikan nafsu syaitan.Hanya ajaran Tuhan yang layak jadi panduan dan menjamin keselamatan dunia dan akhirat.

Akhir sekali saya tegaskan bahawa kemerdekaan ini sebenarnya ialah merdeka dari tipuan dunia dan hawa nafsu, dengan menjadikan hidup dan mati adalah untuk Tuhan Pencipta.

SEKIAN

sumber: http://kawansejati.ee.itb.ac.id/node/15139


Comments on: "Kemerdekaan Hakiki" (1)

  1. Udah sepanjang itu trus kesimpulannya apaan?😀
    *malas baca sih sebenarnya🙂

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Tag Cloud

%d bloggers like this: