………………………………………………….::: soul . heart . mind .

Kemerdekaan Menurut Islam

Berikut ini artikel yang saya anggap baik untuk disampaikan, karena memiliki pesan mendalam bagi kita semua yang tertulis dalam bahasa Malaysia. Selamat membaca.

Tarikh ini disambut meriah dengan berbagai-bagai upacara bagi mengenang kembali detik-detik bersejarah terlepas dari belenggu penjajah. Secara umumnya, kemenangan menghadapi penjajah dianggap sebagai suatu kejayaan besar dan mutlak bagi melambangkan erti kemerdekaan sesebuah negara. Namun demikian, pengertian kemerdekaan sebenarnya adalah luas serta tidak hanya terikat kepada pembebasan sebuah negara dari kuasa asing.

Hal ini dapat dirujuk kepada pengalaman Islam sebagai sebuah agama yang berjaya menjadi penggerak ke pada kemerdekaan yang syumul. Islam yang dipimpin oleh junjungan besar Muhammad s.a.w berjaya membawa kemerdekaan yang menyeluruh dan bermakna bagi bangsa Arab.

Sinar Islam telah membebaskan masyarakat Arab Mekah daripada kegelapan kepada cahaya kebenaran Ilahi. Tidak syak lagi bahawa kemerdekaan iman atau akidah adalah merupakan suatu faktor utama yang menggerakkan kemenangan bangsa Arab sehingga menjadi suatu kuasa besar yang mengalahkan empayar Byzantine dan Parsi.

Tiada laungan semangat “hidup Arab” atau “hidup Quraisy” yang dikobarkan oleh Muhammad s.a.w bagi membebaskan diri daripada kuasa tersebut.

Yang jelas hanyalah seruan aqidah menjadi dasar bagi mendapat pertolongan Allah s.w.t dalam mengalahkan musuh-musuh mereka. Landasan ini ibarat simpulan tali kukuh yang menghubungkan manusia beriman dengan Allah s.w.t. Beriman dengan Allah bererti mesti berlepas daripada mana-mana cengkaman kekuasaan yang menindas seperti Taghut dan sebagainya.

Ini mencapai matlamat kemerdekaan yang menuju kepada pembentukan sebuah negara (negara yang sejahtera dan mendapat keampunan Tuhan).

Islam pimpinan Nabi Muhammad adalah untuk membebaskan seluruh umat manusia di dunia ini. Hakikat Islam sebagai satu-satunya ajaran yang dapat membebaskan seluruh umat manusia dinyatakan dalam firman Allah s.w.t Tidaklah Aku utuskan engkau melainkan untuk memberi rahmat kepada sekalian alam. Di atas dasar inilah Islam menyebarkan risalah Allah ke seluruh pelosok alam. Peri pentingnya tugas memerdekakan akidah manusia kepada mentauhidkan Allah s.w.t. dinyatakan dengan jelas oleh Rubai’i bin ‘Umair, panglima tentera Islam ketika berhadapan dengan panglima Rustum dari Parsi.

Sheikh Muhammad Yusof al-Kandahlawy menukilkan kembali kata-kata beliau dalam bukunya Hayatu al-Sohabah sebagai; “kami datang untuk membebaskan umat manusia dari penyembahan selain daripada Allah, membebaskan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat dan daripada kezaliman kepada keadilan. Barang siapa yang menerimanya, kami akan kembali tetapi bagi siapa yang enggan maka kami memerangi mereka sehingga Allah menunaikan janjinya.”

Misi pembebasan tentera Islam mungkin dipandang sebagai suatu tindakan menceroboh oleh sesetengah pihak. Dari sudut zahir, ia mungkin boleh diterima. Tetapi jika diteliti secara halus berdasarkan fakta-fakta sejarah, kedatangan tentera Islam diakui memerdekakan manusia daripada perhambaan.

Keadilan Islam yang tidak pernah dinikmati sebelum ini menyebabkan mereka mudah bertukar selera menikmati hidangan baru pula. Yang lebih menakjubkan, mereka kemudiannya menjadi pendukung dan pelopor kebangkitan Islam di negara masing-masing. Mesir yang ditewaskan oleh Amru bin Al-’As kemudiannya muncul sebagai sebuah pangkalan Islam yang subur sehingga ke hari ini. Keistimewaan agama ini juga menyebabkan tentera Mongol yang menakluki Baghdad itu sendiri memerdekakan diri mereka dengan memeluk Islam dan seterusnya mendirikan kerajaan Islam di India.

Suatu hal yang perlu ingat bahawa kemerdekaan tidak hanya dicapai oleh Islam menerusi pertumpahan darah. Tentera Islam tetap mengutamakan seruan dakwah atau penerimaan terhadap kekuasaan Islam menerusi pembayaran Jizyah dalam setiap peperangan yang ditempuhi.

Ringkasnya, Islam mengutamakan pendekatan yang aman dan berhikmah dalam mencapai kemerdekaan. Penggunaan ketenteraan hanyalah dalam usaha mempertahankan dakwah supaya tidak diganggu oleh kuasa-kuasa yang sememangnya tidak pernah ingin tunduk kepada kekuasaan pencipta alam ini.

Kedatangan Islam ke alam Melayu juga adalah secara aman dan damai. Hakikat ini diakui sendiri oleh T.W. Arnold, seorang padri Kristian dalam bukunya The Preaching of Islam. Kebijaksanaan pendakwah Islam telah berjaya membebaskan bangsa Melayu daripada fahaman dan amalan karut seperti tahyul dan kasta itu.

Bangsa Melayu seterusnya bangkit sebagai kuasa Islam yang disegani di rantau ini. Empayar Melaka, Riau, Acheh dan Johor menjadi pendukung Islam di Nusantara. Islam menjadi faktor penyatu masyarakat Melayu dalam mempertahankan negeri mereka dari dijajah oleh kuasa Barat. Para ulama seperti Haji Abdul Rahman Limbong mempertahankan dirinya menentang Inggeris di Terengganu. Ulama-ulama dari kaum muda juga mempelopori seruan ke arah pemodenan orang-orang Melayu dan meniupkan semangat kemerdekaan di awal tahun 1900. Umat Melayu yang berteraskan Islam sehingga kini dapat berkompromi dan bertoleransi dengan mana-mana kaum pendatang di negara ini.

Bahkan masyarakat bukan Melayu atau bukan Islam bebas menjalankan kehidupan mereka seharian. Sehingga dalam aspek-aspek tertentu seperti ekonomi, mereka lebih berjaya daripada umat Islam itu sendiri.

Sesungguhnya penekanan Islam terhadap kemerdekaan dan kebebasan manusia tidak perlu diragui lagi. Kebebasan yang dianjurkan oleh Islam mempunyai dasarnya yang tersendiri yang mungkin tidak dapat dipatuhi oleh manusia yang hanya mahukan kebebasan mutlak tanpa batasan.

*DR. BADLIHISHAM MOHD NASIR, Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam dan Dakwah, UKM.

sumber: http://rampaiseri.wordpress.com/2007/08/08/kemerdekaan-menurut-islam


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Tag Cloud

%d bloggers like this: